Nuffnang Ads

Tuesday 7 December 2010

Masa itu tiba jua...

Perkara yang paling aku tak ingin lalui akhirnya tiba jua. Jumaat 3 Disember 2010, abah pergi buat selama-lamanya. meninggalkan aku yatim piatu. mujur aku sudah ada anak dan suami, sekurang-kurangnya tidaklah diri terbiar sebatang kara.
alhamdulillah, abah terlantar tak lama, rabu 24 november mula tumbang dan di diagnosed stroke. aku sempat menjaga abah bergilir-gilir bersama laki dan orang gaji. doktor sendiri sudah memberi amaran abah hidupnya tidak lama, kalau untuk sembuh seperti sediakala mungkin tipis. tapi ketika itu aku percaya, kalau Allah izin tentu saja abah boleh pulih. tapi apakan daya, sudah ini ketentuanNya.
seminggu di hopital, abah dibenar pulang ke rumah. kami sewa ambulan kerana abah badannya lumpuh sebelah. tak sampai sejam di rumah, abah menarik keluar tiub yang menjadi tempat laluan makan dan ubat. marah kami bukan kepalang, tapi disimpan dalam hati. itu karenah biasa orang sakit. malamnya kami bawa juga abah ke wad kecemasan dengan kereta dibantu jiran tetangga. hampir 3 pagi abah dibenar pulang.
terlantarlah abah di atas katil sepanjang hari hingga ke malam. tangannya terpaksa kami ikat bimbang ditariknya tiub semula. apabila diberitahu abah boleh di bawa pulang semua kelengkapan sudah kami beli, daripada tilam angin untuk mengelakkan belakang badannya melecet sehinggalah alatan untuk tekanan darah, termometer dan sukatan gula dalam badan. bilik abah ibarat klinik mini!
khamis, abah diurut seseorang. ada perubahan - kakinya sudah boleh ditegakkan, matanya sudah berkelip-kelip, tangannya tidak lagi kesakitan bila diangkat. malam itu abah berpeluh-peluh, sangka kami itu kasan daripada urutan siangnya. malah itulah pesanan tukang urut, abah akan memberi tindak balas pada malamnya. jiran kami sebelum ini pernah lumpuh, dia juga pernah menerima tindak balas seperti itu, alhamdulillah dia pulih seperti biasa. dalam kes abah, rupa-rupanya itulah petanda dia akan pergi. 3 pagi laki beritahu abah sedikit berbeza, nafasnya makain laju, matanya memandang ke atas - lalu dibacakan yaasin 3 kali dan dibacakan syahadah. abah kembali reda dan dia masuk tidur.
6.30 pagi, aku bangun sembahyang subuh. terdetik juga hendak jenguk abah tapi tidak pula aku berbuat begitu. aku terlena sehingga maid kelam kabut mengetuk pintu. tahulah aku ada yang tidak kena. sepanjang berada di hospital dan rumah, maid ditugaskan menjaga abah sepanjang malam. laki menjenguk abah antara jam 1-3 pagi sebelum balik ke rumah (pada awal laki yang tido di hospital, bila abah dah stabil kami suruh maid yang tido di hospital).
bila disoal, maid beritahu sebelum dia keluar menyapu laman abah seperti biasa terbaring dan masih bernafas, apabila dia masuk ke bilik semula, abah sudah tidak bernyawa.
aku redha walaupun ada jiran-jiran yang terlalu sibuk untuk tahu siapa yang mengadap ketika abah pergi. sebagai anak aku sudah melakukan yang terbaik untuk abah. tidak timbul soal siapa yang berada di sisinya. malah ketika emak pergi dulupun, dia pergi sendiri ketika makcik aku sedang solat subuh.
ramai yang melihat jenazah abah sedang tersenyum seperti ketika hayatnya masih ada. malah ketika dimandikan, sepupu abah memberitahu jenazahnya masih panas seperti baru meninggal. ramai yang menyembahnyangkan arwah selepas solat jumaat.
alhamdulillah segala-segalanya telah selamat. ada yang memberitahu abah rindukan emak sejak tiga tahun ini. semoga roh keduanya ditempatkan di kalangan orang yang beriman...amin.

1 comment:

ennieva fauzi said...

Cik Liza...takziah, sedeh saya baca entry awak ni...bebanyakkan bersabar ye..dan berdoa selalu untuk dia...tapi, syukur juga awak dah ada suami dan anak sebagai pengubat hati yang sedih...takziah Liza..